Thursday, March 25, 2010

Bagaimana Untuk Memilih Raket Badminton

Bagaimana Untuk Memilih Raket Badminton

Ini hanyalah panduan asas bagaimana untuk memilih raket badminton yang sesuai dengan anda. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna panduan ini adalah 100% tepat untuk semua tetapi bersesuaian dengan kebanyakan pemain secara keseluruhannya. Panduan ini juga bukan bertujuan untuk menidakkan pengetahuan dan pengalaman anda sebelum ini dalam pemilihan raket yang paling sesuai. Andainya panduan ini bercanggah dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah anda miliki, adalah lebih baik untuk mengikut ilmu yang anda ada kerana anda lebih memahami kesesuaian raket dengan diri anda sendiri.

Pemilihan Raket Untuk Kali Pertama

Jika anda masih baru dalam sukan badminton dan berhajat untuk mendapatkan raket untuk kali pertama, cara yang paling selamat adalah untuk memilih raket yang balanced. Berikut adalah ciri-ciri raket yang perlu diberi keutamaan:

• Material: Hanya raket carbon/graphite
• Bentuk frame: Isometric
• Berat: Medium (84g-86g)
• Balance point: Balanced (285-290mm)
• Saiz grip: G4/G5 (Yonex terminology)
• Stiffness: Medium stiff
• Ketegangan tali: 25 lbs dan ke atas

Apabila anda sudah menyenarai pendek raket-raket yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas, anda seterusnya boleh mula untuk mempertimbangkan jenama-jenama yang ada di pasaran, rekabentuk, kombinasi warna dan juga yang paling penting adalah harga. Biasanya setiap jenama mempunyai teknologi tersendiri untuk membolehkan raket keluaran mereka mudah dipasarkan. Anda boleh mengambilkira faktor ini juga tetapi kebiasaannya semakin banyak teknologi pada raket semakin tinggi harganya.

Satu lagi nasihat untuk anda adalah cuba pasang tali pada ketegangan sekitar 23-24 lbs untuk pertama kali. Ini adalah ketegangan medium yang biasanya digunakan oleh pemain-pemain badminton sosial. Setelah mula biasa bermain, anda boleh meningkat/menurunkan ketegangan tali ini mengikut skil, kekuatan dan corak permainan anda. Semakin lama anda bermain, anda akan menyedari adakah raket tersebut sesuai dengan keperluan anda atau tidak. Walaubagaimanapun, tiada cara yang tepat untuk menentukan raket pertama anda ini adalah paling sesuai untuk anda.

Menukar Raket Sedia Ada Dengan Raket Yang Baru

Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan raket yang ada dan mahu mencari raket yang baru, anda boleh mengikut panduan berikut:

• Material: Seperti biasa, hanya pilih raket carbon/graphite.

• Bentuk frame: Isometric, jika anda telah mempunyai skil untuk memukul bulu tangkis tepat ke sweet spot secara konsisten, maka anda boleh juga mempertimbangkan raket berbentuk oval-head.

• Berat:
Soalan:
Adakah anda merasakan raket anda sekarang terlalu berat atau terlalu ringan?
Raket yang berat bermakna adalah sukar untuk anda menggerakkan raket tersebut dari satu posisi ke posisi yang lain.
Raket yang ringan pula bermakna anda dapat memnggerakkan raket terlalu mudah dan anda memerlukan raket yang lebih berat untuk menambahkan tenaga dalam pukulan-pukulan anda.
Keputusan:
Jika raket anda terlalu berat, dapatkan raket yang lebih ringan. Mulakan dengan raket yang lebih ringan sebanyak 2 atau 3 gram berbanding raket anda sekarang.
Jika raket anda terlalu ringan, dapatkan raket yang lebih berat. Mulakan dengan raket yang lebih ringan sebanyak 2 atau 3 gram berbanding raket anda sekarang.

Berat 84-85g merupakan berat yang sesuai untuk kebanyakan pemain.

• Balance point:
Soalan:
S1: Anda gemar membuat pukulan smash tetapi pukulan anda kurang bertenaga?
S2: Anda suka bermain secara bertahan dan tidak selalu membuat pukulan smash atau anda gemar bermain secara pantas (bahagian hadapan gelanggang) dan raket sedia ada tidak membolehkan anda bermain seperti itu?

Keputusan:
Jika anda menjawap YA untuk S1, anda patut mendapatkan raket yang head-heavy. Raket seperti ini akan membantu anda menyalurkan lebih tenaga kepada setiap pukulan. Kebiasaannya raket head-heavy mempunyai balance point sekitar 291cm atau lebih. Anda boleh tentukan raket apa yang perlu dipilih dengan menjadikan raket sedia ada sebagai penanda aras balance point yang sesuai.

Jika anda menjawap YA untuk S2, anda patut mendapatkan raket yang head-light atau balanced. Raket sebegini akan menambahkan kelajuan hayunan pukulan anda. Walaubagaimanapun, anda akan kehilangan sedikit tenaga dalam pukulan yang dibuat. Kebiasaannya raket balanced mempunyai balance point sekitar 285-290cm dan 284cm ke bawah untuk raket head-light. Anda boleh tentukan raket apa yang perlu dipilih dengan menjadikan raket sedia ada sebagai penanda aras balance point yang sesuai.

• Saiz grip:
G4 atau G5 (Yonex terminology) – anda boleh menambahkan ketebalan grip dengan menggunakan replacement grip yang lebih tebal.

• Stiffness:
Jika anda merasakan raket anda sekarang bergetar setiap kali anda membuat pukulan dan anda rasakan pukulan-pukulan anda kurang bertenaga walaupun tepat mengenai sweet spot, mungkin raket tersebut terlalu stiff untuk anda. Ini bermakna anda tidak mempunyai cukup tenaga atau kepantasan hayunan untuk melenturkan shaft raket anda. Jadi anda perlu mencari raket yang kurang stiff. Kebiasaannya raket medium stiff atau flexible adalah percaturan terbaik. Satu nasihat sebelum anda menukar raket, cuba kurangkan ketegangan tali raket anda dan lihat sama ada ia membantu. Ketegangan tali yang kurang akan meningkatkan daya lantunan bulu tangkis dan dapat menyerap stiffness raket.
Sekiranya anda mempunyai tangan yang kuat tetapi pukulan anda tidak bertenaga walaupun telah memukul tepat mengenai sweet spot, kemungkinan raket anda sekarang tidak cukup stiff untuk anda. Dapatkan raket yang lebih stiff daripada raket yang anda gunakan sekarang.

• Ketegangan tali
Jika anda rasakan raket anda tidak memberikan cukup tenaga kepada pukulan-pukulan anda, cuba rendahkan ketegangan tali untuk menambahkan daya lantunan pada raket anda. Cara ini kebiasaannya berkesan. Walubagaimanapun, tali yang kurang tegang akan menyukarkan kawalan dan ketepatan pukulan kerana lantunan yang lebih. Ketegangan tali sekitar 21-22lbs adalah ketegangan yang paling rendah untuk kebanyakan raket masa kini.
Jika ada rasakan pukulan anda cukup bertenaga dan mahukan lebih kawalan dan ketepatan dalam setiap pukulan, anda perlu meningkatkan ketegangan tali raket anda. Walaubagaimanapun, anda dinasihatkan untuk tidak melepasi ketegangan maksimum yang dinyatakan dalam spesifikasi raket anda kerana raket anda mungkin akan patah atau retak. Dapatkan nasihat daripada stringer anda.



Raket Atau Teknik? Kenapa Bukan Raket Yang Paling Mahal?

1. Teknik adalah faktor yang paling penting dalam permainan badminton dan bukannya raket. Kadang-kala anda akan merasakan tidak sesuai dengan raket anda walaupun anda telah mencuba pelbagai cara. Masalah ini kadang-kala bukan pada raket tetapi pada teknik anda. Apabila anda bermain dengan teknik yang salah, walau ape jenis raket sekali pun, anda tidak akan dapat keputusan seperti yang dikehendaki. Tiada cara pantas untuk mengubah keadaan ini kecuali dengan mempelajari dan berlatih lebih giat lagi. Mendapatkan nasihat daripada pemain yang lebih bagus merupakan satu cara terbaik untuk memperbaiki teknik anda.

2. Anda mungkin bertanya, kenapa tidak memilih raket termahal sekali di pasaran memandangkan anda mempunyai bajet yang cukup untuk mendapatkannya. Ini adalah satu kesilapan yang sering disalahtafsirkan oleh ramai pemain. RAKET PALING MAHAL BELUM TENTU SESUAI DENGAN ANDA. Sesetengah pemain hanya mengikut trend jenis raket yang digunakan oleh pemain profesional dengan beranggapan raket tersebut pastinya adalah raket yang terbaik di pasaran. Walaupun bagi sesetengah orang ia mungkin betul, bagi sesetengah yang lain ia tidaklah begitu tepat. Sebagai contoh, kebanyakan raket hi end yang mahal di pasaran mempunyai shaft yang stiff dan jika anda tidak mempunyai cukup kekuatan tangan atau kelajuan hayunan pukulan, anda akan menghadapi masalah di mana pukulan anda kurang bertenaga. Jadi panduan ini sedikit sebanyak bolehlah digunakan untuk anda memilih raket yang sesuai dengan anda atau anda boleh mengikut pengetahuan dan pengalaman anda dalam memilih raket sekiranya anda sudah mempunyai sedikit kepakaran untuk berbuat demikian.

6 comments:

  1. Wah lengkap sekali penjelasannya..
    terima kasih..

    ceriamultimedia.com

    ReplyDelete
  2. TALI RAKET ADA BANYAK JENIS...MANA YANG BAIK?

    ReplyDelete
  3. boleh x papar kan jenis2 imej reket tersebut... dan biasanya label untuk smua spesifikasi itu d label kn d btang reket ke???

    ReplyDelete
  4. thank you for your explanation, i got very important information. thanks bro

    ReplyDelete
  5. beli raket kat LELONG ok ker>Ori tak? ada sesiapa berpengalaman>

    ReplyDelete