Sunday, November 14, 2010

Malaysia Rebah di Tangan Thailand Di Sukan Asia Dalam Arena Badminton

Chong Wei tewas kepada Boonsak, Malaysia kalah 2-3 kepada Thailand

SKUAD badminton negara diketuai jaguh perseorangan, Lee Chong Wei menerima tamparan hebat apabila tewas mengejut kepada Thailand 3-2 dalam saingan suku akhir acara berpasukan di Gymnasium Tianhe, petang semalam.

Petanda bakal kalah sudah terbayang selepas pemain nombor satu dunia itu tunduk mengejut kepada Boonsak Ponsana 21-9, 10-21, 19-21, tetapi pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas menang mudah ke atas Prapakamol Sudket-Anugritayawon S 21-12, 21-13.

Hafiz Hashim bagaimanapun meletakkan skuad negara di ambang kemenangan dengan mengutip mata kedua menundukkan Saensomboonsuk T 14-21, 21-14, 21-18 tetapi pasangan muda, Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong gagal mencari mata kemenangan apabila tewas kepada Jongjit Maneepong-Isara Bodin 23-21, 21-12, 21-16.
Pada kedudukan 2-2, fokus beralih kepada perseorangan ketiga dan Liew Daren jelas menghampakan apabila tunduk kepada Avihingsanon S 16-21, 16-21 membolehkan Thailand mara ke separuh akhir.

Kekalahan ini amat menyedihkan. Kita tak patut kalah, kata jurulatih, Misbun Sidek. Chong Wei tidak dapat beraksi baik kerana selesema. Kita terpaksa menurunkannya untuk mengutip mata. Apa pun, Boonsak jelas berada pada prestasi terbaik. Kita tidak jangka Hafiz berjaya membutirkan mata tetapi pemain muda nampak gugup dalam situasi genting. Apapun, ia pengalaman terbaik buat mereka.

No comments:

Post a Comment