Sunday, October 17, 2010

Memperkasakan Generasi Jaguh Komputer Melalui Program Jaguh

PROGRAM realiti televisyen (TV) tidak hanya tertumpu kepada bidang-bidang seni seperti nyanyian, tarian dan lakonan semata-mata. Sebaliknya, ia juga mencakupi bidang-bidang lain seperti sukan yang turut diminati ramai.

Malah, program realiti TV yang berteraskan bidang sukan bukan sahaja sebagai suatu bahan hiburan, sebaliknya ia juga boleh dijadikan platform untuk melahirkan jaguh pelapis dalam sesuatu bidang sukan pada masa depan.

Bekas pemain badminton perseorangan negara, Kwan Yoke Meng merupakan antara ahli sukan yang menyokong dan menaruh kepercayaan program realiti TV berkonsepkan sukan mampu mencapai objektif tersebut.

Justeru, tidak hairanlah pemain badminton berusia 44 tahun itu telah diberi kepercayaan oleh TV9 sebagai Ketua Jurulatih dalam program realiti TV terbaru stesen itu berjudul Jaguh yang disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam mulai 26 Mac ini.

Menurut Yoke Meng, keyakinannya itu timbul berdasarkan sambutan masyarakat terhadap sukan badminton yang merupakan antara sukan popular di negara ini selepas bola sepak, sewaktu uji bakat program itu diadakan baru-baru ini.

"Semasa mula-mula saya hadir untuk menerima tawaran sebagai Ketua Jurulatih dalam program ini saya fikir 50 - 50. Ini kerana, sebelum ini belum pernah ada program realiti TV yang menjadikan sukan badminton sebagai modul rancangan.

"Bagaimanapun, sewaktu uji bakat program ini diadakan di Kompleks Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu hampir 300 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah menyertainya.

"Ada yang datang dari jauh iaitu Sabah semata-mata untuk menyertai program ini. Walaupun masih muda tetapi mereka amat berbakat," katanya ketika ditemui pada pelancaran Jaguh di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Sebagai salah seorang pemain perseorangan yang pernah membantu pasukan negara merampas Piala Thomas pada 1992, bapa kepada Callum, 13, dan Carolynn, 16 ini akan mencurahkan pengalamannya untuk Jaguh.

Yoke Meng yang bersara dari arena badminton pada tahun 1993 yakin mampu melatih lapan peserta yang akan bersaing menerusi program realiti TV itu yang menyediakan hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi untuk juaranya.

"Saya yakin mampu untuk melatih para peserta program ini walaupun mereka masih muda. Latihan yang akan saya berikan sama seperti pemain dewasa. Saya tekankan soal skil sebanyak 70 peratus dan 30 peratus lagi aspek fizikal.

"Mereka akan berlatih empat jam sehari di USJ23 Subang Jaya, Selangor. Selepas dua bulan selepas uji bakat diadakan, saya akan menilai prestasi lapan peserta yang berjaya menyertai program ini untuk tujuan penyingkiran.

"Dengan dibantu oleh pembantu jurulatih lain aspek penyingkiran mengambil kira soal kalah menang perlawanan dan juga soal kecergasan fizikal, kemampuan, skil dan bakat yang mereka tunjukkan," ujarnya.

Beliau yang kini merupakan penasihat kepada Persatuan Badminton Melaka sejak tiga tahun lalu berkata, pada setiap episod Jaguh akan ada penyingkiran peserta berdasarkan kriteria-kriteria seperti yang telah dijelaskannya itu.

Namun, Yoke Meng yang juga seorang ahli perniagaan menaruh harapan yang tinggi kepada juara program ini untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi lagi.

"Juara pertandingan ini akan terus digilap dengan mewakili pula pasukan badminton di negeri asal masing-masing. Kalau prestasi bagus, selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah mereka boleh diserapkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Daripada situlah kita akan berusaha untuk terus menggilap bakat mereka ke tahap yang lebih jauh. Ini adalah suatu permulaan yang baik untuk melahirkan pemain badminton pelapis pada masa depan," kata anak jati Kuala Lumpur ini.

Lapan peserta yang bersaing pada program yang akan diacarakan oleh penyampai radio Hot FM, Khairul Ikhwan Rosli itu kini tinggal di Asrama Rakan Muda, Bukit Kiara.

Badminton paling sesuai

Peserta yang bersaing pada program musim pertama itu ialah Muhammad Umar Al Qhatab Mohammed Shaffie, 12, Chia Wei Jie, 10, Muhammad Ariff Mohd. Asaari, 10 dan Muhammad Izzudin Shamsul Muzli, 12.

Tidak ketinggalan empat lagi pesertanya iaitu Muhammad Syafiq A. Sanusi, 10, Ahmad Shah Fuad Muhammad, 12, Goh Ting Yu, 11, dan Riyanka Kesuma Suherman, 12 akan bersaing dalam program sebanyak lapan episod itu.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin turut menaruh keyakinan Jaguh bukan sahaja mampu menarik perhatian para penonton tetapi juga menggalakkan pertumbuhan sukan tersebut.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan oleh TV9 terhadap 1,000 responden pada Jun 2009 mendapati kebanyakan daripada mereka lebih meminati sukan badminton berbanding bola sepak.

"Sewaktu kajian itu dilakukan di Semenanjung Malaysia oleh sebuah syarikat ramai yang menyokong program realiti TV ini diadakan. Kami dapati badminton paling sesuai untuk tontonan dan permainan untuk seisi keluarga.

"Apatah lagi, sebelum ini sudah ada program realiti TV tentang bola sepak sedangkan badminton belum pernah diadakan. Kebetulan pula pada Mei ini akan berlangsungnya kejohanan Piala Thomas," jelasnya.

Rozaina berharap, Jaguh bukan sahaja memaparkan realiti kepayahan lapan pesertanya merebut gelaran juara, malah ia juga diharap dapat menaikan semangat serta mempopularkan lagi badminton di kalangan rakyat negara ini.

Jaguh menyediakan hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi untuk juaranya, tempat kedua menerima RM2,000, tempat ketiga (RM1,000), tempat keempat (RM500), tempat kelima hingga kelapan (RM300) dan Pemain Harapan (RM1,000).

Program realiti TV yang dirakamkan setiap episodnya lebih awal mendapat sokongan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan penyingkiran dan pemenangnya ditentukan oleh Ketua Jurulatih dan para pembantunya.

No comments:

Post a Comment