Chong Wei enggan habuan lumayan gugat tumpuan
TERBUKA Korea Selatan - medan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.2 juta (RM3.8 juta) - harus mencengkam minda Lee Chong Wei (gambar) ketika dia membuat setiap lawan ghairah mahu menumbangkan juara bertahan itu dan pulang dengan kocek kembong.
Juara perseorangan lelaki akan menerima AS$90,000 (kira-kira RM300,000) dan dengan kehadiran juara dunia dan Olimpik, Lin Dan serta naib juara Terbuka Malaysia, Taufik Hidayat, jagoan negara meniti ranjau sukar dalam kejohanan terkaya itu.
Chong Wei yang berlepas ke Seoul malam kelmarin sebaik menjuarai Terbuka Malaysia buat kali ketujuh tidak melihat elemen seumpama ini akan mengganggu misi membawa pulang kejuaraan, malah menunjukkan wajah bersifat tenang.
“Saya tidak mahu memikirkan soal siapa lawan, kerana saya mahu menghadapinya satu persatu,” katanya.
“Apa yang penting, saya mahu fokus kepada persiapan diri,” katanya yang ditemani penolong jurulatih, Tey Seu Bock.
Setakat ini dua kejohanan sudah berjaya dimenanginya dan kini hanya tinggal satu lagi buat Chong Wei melengkapkan misi gemilang, bulan ini apabila turun beraksi mempertahankan kejuaraan Terbuka Korea, esok.
Namun, tidak seperti dua kejohanan sebelum ini, permata negara itu mengakui misi terakhir kali ini lebih getir dan mencabar kerana hampir semua pemain terbaik dunia beraksi dalam kejohanan paling mahal dalam sejarah.
Berdasarkan undian, Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama akan memulakan cabaran menentang pemain Denmark, Jan O Jogensen di pusingan pertama dan menantinya di pusingan kedua dijangka pemain tuan rumah, Park Sung-hwan.
Seandainya melepasi halangan itu, Chong Wei dijangka bertemu juara dunia 2010, Chen Jin yang juga pilihan kelima di suku akhir sebelum seorang lagi wakil Tembok Besar sama ada Chen Long atau Bao Chunlai menantinya di separuh akhir.
Pada awal bulan, dia turut berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Siri Super Final di Taiwan.
Sementara itu, Seu Bock yang dihubungi di Korea berkata, Chong Wei dalam keadaan fizikal dan semangat yang tinggi walaupun cuaca sejuk di bawah 5 darjah celsius.
“Dia tidak suka dengan cuaca sejuk,” katanya. “Dia perlu berhati-hati kerana semua pemain yang bertemunya bukan mahu memenangi kejohanan tetapi mahu menumbangkannya. Jadi, dia perlu fokus kepada setiap lawan yang ditemui,” katanya.
Sumber Berita Harian 25/1/2011
No comments:
Post a Comment