Monday, January 31, 2011

Chong Wei Gagal Pertahankan Gelaran Terbuka Korea

KUALA LUMPUR, 30 Jan -- Juara bertahan Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Korea apabila tewas kepada bintang sensasi China, Lin Dan, pada perlawanan akhir di Seoul, Ahad.

Walaupun Chong Wei berada pada ranking nombor satu dunia tetapi terpaksa mengakui kehebatan Lin Dan, yang menarik diri dari saingan suku akhir Terbuka Malaysia minggu lepas, dengan keputusan 21-19, 14-21 dan 21-16.

Kejayaan Lin Dan itu merupakan kejuaraan pertama siri super untuk dirinya tahun ini selepas Chong Wei membuka musim baru dengan merangkul Terbuka Malaysia.

Sebagai rekod, Chong Wei baru lapan kali mencatatkan kemenangan ke atas Lin Dan dalam 22 pertemuan antara mereka.

Kejohanan Terbuka Korea menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$1.2 juta (RM3.6 juta).

Sementara itu, dalam beregu lelaki, Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan mudah menundukkan beregu nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark 21-6, 21-13.

Pada acara final perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran, peserta China berentap sesama sendiri untuk merebut kejuaraan.

Dalam perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia Wang Yihan menebus kekalahannya pada Terbuka Malaysia minggu lepas dengan mengatasi Wang Shixian 21-14, 21-18.

Dalam beregu wanita, Wang Xiaoli/Yu Yang menewaskan Tian Qing/Zhao Yunlei 21-18, 19-21, 21-4 manakala dalam beregu campuran Zhang Nan/Zhao Yunlei menundukkan Jiaming Tao/Tian Qing 21-17, 13-21, 21-19.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment