Monday, January 10, 2011

Kemelut Kehilangan Jurulatih Tidak melemahkan Chong Wei




Lee Chong Wei (kiri) dan Peter Hoeg Gade saling mengucap tahniah selepas perlawanan akhir kejohanan Super Siri Masters Akhir di Stadium Hsinchuang, Taiwan, semalam. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang belum berpenghujung, langsung tidak menganggu fokus Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya dia memulakan tahun baru 2011 dengan langkah kanan, selepas merangkul gelaran hatrik Kejohanan Badminton Super Siri Masters Akhir di Taiwan, semalam.

Biarpun sedar ada isu besar bakal menanti sekembalinya dia ke tanah air nanti, Chong Wei tidak menterjemahkan kekusutan ke dalam gelanggang, malah mengekalkan rekod bersih tanpa melepaskan sebarang mata ketika membenam jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade 21-9, 21-14.

Pemain No. 1 dunia itu hanya memerlukan 40 minit untuk menundukkan Gade, sekali gus memenangi kesemua lima perlawanannya di Taiwan menerusi keputusan straight-set untuk membuka tirai 2011 dengan kecemerlangan.

Kemenangan ini juga menjadikan Chong Wei sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali ketujuh pada 18-23 Januari ini, meskipun bakal bersua kembali dengan musuh ketat, Lin Dan.

Malah, kemenangan di Taiwan semalam turut membolehkan jaguh dunia itu membawa pulang hadiah lumayan AS$$40,000 (RM128,000). Super Siri Masters Akhir, yang memasuki edisi ketiga menawarkan hadiah keseluruhan AS$$500,000 (RM1.6 juta).

Sementara itu, saingan beregu lelaki menampilkan juara baru dengan pasangan No. 1 dunia, Carsten Morgensen-Mathias Boe dari Denmark menundukkan penyandang juara, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan 21-17, 21-15.

Kecuali perseorangan dan beregu lelaki, gergasi badminton dunia, China mendominasi tiga saingan lain - perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.

Pemain No. 2 dunia, Wang Shixian hanya memerlukan 40 minit untuk mengetepikan pencabar dari Korea Selatan, Bae Youn Joo 21-13, 21-15.

Kombinasi baru Wang Xiaoli-Yu Yang pula mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan kedua, CHeng Su-Zhao Yunlei 21-7, 21-17, manakala juara All England, Zhang Nan-Zhao Yunlei mempertahankan gelaran beregu campuran dengan mengalahkan Sudket Parapakamol-Saralee Thoungthongkam dari Thailand 21-17, 21-12.


Sumber dari

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment