BINTANG sensasi China, Lin Dan berada pada kelasnya yang tersendiri apabila mempamerkan prestasi menakjubkan sepanjang saingan kempen Piala Thomas edisi ke-26 di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Selepas kejayaan menundukkan pemain perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (Khamis lalu), kini giliran perseorangan utama Indonesia, Taufik Hidayat (gambar) kecundang di tangan Lin Dan pada final Piala Thomas semalam.
Pada aksi semalam, Lin Dan yang turun selaku perseorangan pertama China mudah membenam cabaran Taufik apabila menca- tatkan kemenangan straight set 21-7, 21-14 bagi menyumbang mata pertama buat pasukannya.
Kehebatan yang dipamerkan Lin Dan sepanjang saingan kali ini ternyata sukar untuk digugat dan ia turut diakui Taufik yang menganggap perseorangan No. 2 dunia itu memiliki kualiti yang cukup bagi bergelar pemain badminton terbaik dunia.
"Lin Dan seorang pemain yang baik dan jika kita melihat prestasinya dalam saingan Piala Thomas kali ini, ternyata dia telah melakukan segala persiapan dengan cukup rapi bagi menghadapi setiap lawannya.
"Jika dia dapat mengekalkan prestasinya seperti sekarang, tidak mustahil dia sekali lagi akan bergelar juara pada Sukan Olimpik 2012 di London nanti," jelas Taufik yang merupakan juara Sukan Olimpik 2004 di Athens.
Mengulas mengenai permainannya pada pertemuan itu, Taufik secara terbuka menyatakan dia berasa sedikit kecewa dengan kekalahan tersebut kerana tidak dapat menyumbang mata buat Indonesia.
"Saya kecewa dengan kekalahan ini dan ternyata Lin Dan beraksi lebih baik daripada saya sehingga dapat membaca segala pergerakan yang saya lakukan.
"Apa-apa pun saya telah mencuba untuk melakukan yang terbaik dan saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat menyumbangkan mata buat Indonesia," katanya.
Sementara itu, Lin Dan yang merupakan juara dunia ternyata puas dengan kejayaan menundukkan dua pencabar utama iaitu Chong Wei dan Taufik dalam saingan Piala Thomas kali ini.
"Saya gembira kerana dapat menewaskan dua pemain terbaik dunia iaitu Chong Wei dan Taufik.
"Saya harap kejayaan ini akan berulang pada pertemuan akan datang," ujarnya.
Harian Kosmo
No comments:
Post a Comment