Sunday, May 16, 2010

2 Jaguh Terbaik Asia Berentap Lin Dan dan Taufik Hidayat


Pertembungan klasik kali ke-10 antara dua jaguh dunia itu

TIADA istilah paling tepat kecuali 'buku bertemu ruas' untuk menggambarkan pertembungan di antara Lin Dan dan Taufik Hidayat pada pentas final Piala Thomas di Stadium Putra, hari ini. Kedua-duanya diakui menjadi ‘kunci’ yang akan membuka laluan kemenangan pasukan masing-masing dengan China mengintai kejuaraan kelapan mereka, manakala Indonesia berhasrat menjulang piala keagungan itu buat kali ke-14. Berdasarkan rekod, pertembungan hari ini adalah yang ke-10 di antara kedua-dua pemain itu sejak 2001 dengan Lin Dan, juara dunia tiga kali dan pemenang emas Olimpik Beijing 2008 muncul pemenang enam daripada sembilan pertemuan lalu.

Kali terakhir mereka bertemu di Terbuka Perancis, Januari lalu, yang menyaksikan Lin Dan mudah mengatasi Taufik, pemenang emas Olimpik 2004 dan juara dunia 2005, 21-6, 21-15 dalam tempoh 38 minit.

Tetapi kedua-duanya mengakui rekod bukan ukuran dalam menentukan pemenang perlawanan, hari ini ketika masing-masing bertekad menjulang piala itu dengan Lin Dan berharap memenanginya buat kali keempat, sementara Taufik kali ketiga.

“Daripada rekod, Lin Dan mengatasi saya tetapi saya percaya pertembungan esok (hari ini) pasti berbeza. Jika dia mempunyai alasan memenangi perlawanan itu, saya juga mempunyai sebab untuk menang,” kata Taufik.
“Antara sebab saya mahu menang kerana saya amat merindui piala ini selepas kali terakhir memenanginya pada 2002. Lagi pun, di sini (Stadium Putra) adalah istimewa kerana buat pertama kali saya memenangi piala berprestij itu di sini (2000),” katanya.

Lin Dan pula berkata, walaupun media sering melaga-lagakannya dengan Taufik tetapi dia sebenarnya ingin menjadi kawan baik kepada pemain Indonesia yang satu tahun lebih tua daripadanya.

“Siapa menang dan bagaimana permainan esok (hari ini) bukan isu. Sebenarnya, saya harap dapat menjadi kawan baik kepada Taufik. Kami ingin menceriakan dan mewarnai dunia badminton dengan kehebatan serta kemahiran permainan masing-masing,” katanya

No comments:

Post a Comment