Sunday, May 16, 2010

Kemarau Kemenangan Untuk Pasukan Malaysia

Malaysia 'tepati' ramalan
Oleh Lukman Salleh, Hussain Said dan Hasnira Hassan
bhsukan@bharian.com.my
2010/05/16
Kalah dari segi komitmen, tekad dan semangat juang

SKUAD Piala Thomas negara hanyalah sekadar barisan kelas ketiga. Daripada awal lagi sejak Malaysia menawarkan diri selaku hos Piala Thomas, sudah dinyatakan bahawa tuan rumah tidak akan menjulang trofi keagungan kerana tidak mempunyai pemain yang berkaliber dan mampu untuk menggalas cabaran diletakkan. Tetapi kemenangan jaguh perseorangan negara Lee Chong Wei di Seluruh England awal tahun ini, menyebabkan semua pihak termasuk peminat bersemangat bahawa skuad negara mampu meraih Piala Thomas, sedangkan fakta sebenar mengenai pasukan kebangsaan diketepikan.

Cara China beraksi di hadapan ribuan penonton Malaysia dan gaya mereka memperlekehkan dan memperkotak-katikkan anak buah Rashid Sidek dan Rexy Mainaiky, dan membuatkan Lee Chong Wei, beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong seperti baru semalam bermain badminton.

Apa yang menyedihkan, skuad Malaysia bukan hanya kalah dari segi skil kepada pemain China, tetapi juga komitmen, tekad dan semangat.

Malah keseluruhan aksi skuad Malaysia dalam Piala Thomas cukup mengecewakan. Daripada tiga perlawanan, Malaysia hanya menang sekali menentang Denmark di suku akhir, tetapi dikejutkan Jepun 2-3 dalam saingan kumpulan sebelum tersungkur di kaki China.
Dengan Malaysia mengharapkan sepenuhnya kepada Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong, kedua-dua tidak dapat menampilkan aksi bertenaga menentang China sekali pun di peringkat kumpulan tampak begitu ampuh.

Masalah dengan beregu kedua Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari merumitkan lagi pilihan Malaysia ditambah dengan perseorangan kedua Wong Choong Hann yang begitu lemah dan prestasi Hafiz Hashim, yang tidak boleh diramalkan, membuatkan Malaysia begitu goyah.

Dan kepincangan itu dapat dirasai selepas kekalahan Malaysia kepada Jepun, sebelum mereka bangkit seketika menentang Denmark sebelum dihumban ke lembah keaiban dengan oleh China.

No comments:

Post a Comment