PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd Nadzmi Salleh mengakui ada yang tidak kena dan agak memalukan apabila skuad negara masih bergantung kepada pemain tua untuk beraksi dalam acara berpasukan.
Malaysia terpaksa memanggil Wong Choong Hann, 33, untuk menganggotai skuad Piala Thomas apabila mendapati tidak mempunyai pemain muda berbakat menggalas peranan pemain perseorangan. Pasukan kebangsaan juga pada asalnya memanggil gandingan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tetapi menolaknya kerana mempunyai komitmen ini. Apabila Nadzmi diajukan pertanyaan sama ada skuad negara harus berasa malu kerana terpaksa bergantung kepada kudrat tua, Nadzmi berkata, “Ya.”
“Ada sesuatu yang tidak kena dengan program kita kerana terpaksa bergantung pemain veteran,” kata Nadzmi. “Kita lihat ada jurang besar antara perseorangan pertama dengan pemain lain.
“Justeru, kita harus mencari sebabnya mengapa keadaan sedemikian dan sehingga kini kita masih tidak dapat melahirkan pemain berbakat sebagai pengganti,” katanya.
Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan kenyataan Nadzmi itu dengan merujuk kepada skuad Denmark, yang masih dianggotai Peter Gade, 34, dan Lars Paaske-Jonas Rasmussen yang sudah mencecah usia 36.
Tetapi berbanding dengan Malaysia, pemain tua Denmark sentiasa berada pada tahap fizikal dan permainan yang tinggi masih dapat bersaing dalam kelompok lima terbaik dunia sedangkan pemain veteran Malaysia begitu banyak kekurangan.
No comments:
Post a Comment