Laman Blog ini membincangkan tentang perkembangan dan cerita-cerita serta teknik-teknik bermain badminton.
Saturday, October 26, 2013
Membina istana dalam surga
عن عثمان بن عفان يقول، إني سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: من بنى مسجدا يبتغي به وجه الله، بنى الله له مثله في الجنة
Daripada Uthman bin`Affan katanya sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membina masjid ikhlas kerana Allah, Allah akan membina untuknya rumah seperti itu di dalam syurga. (al-Bukhari: 439, Muslim: 533)
Setiap orang mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri yang indah dan selesa supaya dia dapat merehatkan diri dan mendapat ketenangan. Bagaimana pun sesetengah orang, disebabkan kemampuan kewangan yang tidak mencukupi tidak dapat memenuhi impiannya. Yang hanya dimiliki adalah tenaga. Membina masjid dalam hadis di atas merangkumi pembinaan dengan modal benda dan modal tenaga manusia. Masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan.
Di sini Rasulullah s.a.w. menarik perhatian umatnya supaya melihat ke hadapan yang lebih jauh lagi. Bagaimana sepatutnya setiap mukmin itu memiliki istananya sendiri di dalam syurga. Kekecewaan dengan kehidupan dunia tidak sepatutnya menghalang seseorang berusaha untuk kehidupan akhirat.
Rumah atau istana di syurga tentunya tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana istana di dunia. Keindahan dan kemewahan syurga yang tidak dapat dibayangkan
Hadis ini mengandungi isyarat supaya orang mukmin mengingati negeri asal sendiri. Dari mana kita datang ke situlah kita akan kembali. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. sentiasa menyeru hamba-hamba-Nya kepada kembali ke syurga. Allah s.w.t. berfirman:
وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). (Surah Yunus: 25)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. menyebutkan tujuan pembinaan masjid. Masjid hendaklah dibina sebagai tanda mengingati Allah, memakmurkannya dengan ibadat dan ketaqwaan bukan untuk berbangga dan bermegah-megah. Sabda baginda:
عن عمر بن الخطاب؛ قَالَ: سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ يقول ((من بنى مسجداً يذكر فيه اسم الله، بنى اللَّه له بيتاً في الجنة
Daripada Umar bin al-al-Khattab katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membina masjid yang diingati padanya nama Allah, Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Ibn Majah, no: 735)
Sebagaimana jumlah tidak menjadi syarat dalam bersedekah begitu juga dalam pembinaan masjid, saiz bukan menjadi ukuran tetapi keikhlasan. Sabda baginda:
عن جابر بْن عَبْد اللّه؛ أن رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ قال ((من بنى مسجداً لله كمفحص قطاة، أو أصغر، بنى اللَّه له بيتاً في الجنة
Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membina masjid kerana sebesar sarang burung atau lebih kecil lagi, Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Ibn Majah, no: 738)
Hadis ini bukan untuk menyatakan saiz sebesar itu bagi masjid kerana ruang sekadar itu tidak boleh untuk bersembahyang di dalamnya. Apa yang ditekankan oleh hadis ini ialah pahala membina masjid tetap sabit walaupun masjid itu kecil, biar sebanyak mana sumbangan kita.
Hadis-hadis di atas juga mengisyaratkan di sebalik pahala sebegitu besar ini adanya peranan institusi masjid dalam sesebuah masyarakat. Oleh kerana itulah, setibanya Rasulullah s.a.w. ke Madinah, baginda merencanakan untuk mendirikan masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam. Setelah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, baginda mengukuhkan lagi ikatan masyarakat baru itu dengan tautan aqidah, syariat dan akhlak. Semua ini terpancar dari roh dan sinar masjid. Persaudaraan bertambah erat dengan pertemuan sesama sendiri sekurang-kurang lima kali sehari tanpa ada pembeza dari segi darjat, keturunan dan kekayaan. Semuanya sama-sama datang sebagai hamba Allah. Mereka berada di peringkat yang sama dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Bermula dari masjid dapat dirancang pelbagai kegiatan keilmuan, perekonomian dan kemasyarakatan.
Selain itu, ada beberapa hadis yang lain menyebutkan amalan-amalan lain yang membolehkan seseorang itu mendapat istana di dalam syurga. Antaranya ialah sembahyang sunat rawatib.
عن أم حبيبة تقول: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول “من صلى اثنتي عشرة ركعة في يوم وليلة، بني له بهن بيت في الجنة
Daripada Ummu Habibah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa bersembahyang 12 rakaat dalam sehari dan semalam, dibina untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Muslim, no: 728)
Dalam riwayat Aishah 12 belas rakaat itu adalah sunat rawatib.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنْ ثَابَرَ عَلَى اثْنَتَىْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ بَيْتاً فِى الْجَنَّةِ أَرْبَعاً قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ
Daripada `Aishah daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa sentiasa melazimi sembahyang 12 rakaat dalam sehari dan semalam, Allah s.w.t. akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. 4 rakaat sebelum zuhur, 2 rakaat selepas zuhur, 2 rakaat selepas maghrib, 2 rakaat selepas isya’ dan 2 rakaat sebelum subuh. (Riwayat al-Nasai’i no: 1795, al-Tirmizi, no: 414,Ibn Majah, no: 1140)
Amalan lain yang membolehkan kita memperolehi rumah di dalam syurga ialah meninggalkan perbalahan, berdusta dan melazimkan diri dengan akhlak yang mulia.
عن أبي أمامة قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: ” أنا زعيمٌ ببيتٍ في ربض الجنة لمن ترك المراء وإن كان محقّاً، وببيتٍ في وسط الجنة، لمن ترك الكذب وإن كان مازحاً، وببيتٍ في أعلى الجنة لمن حسَّن خلقه
Daripada Abi Umamah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya menjadi penjamin terhadap rumah di pinggir syurga kepada orang meninggalkan perbalahan walaupun dia yang betul, terhadap rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berdusta walaupun dalam bergurau senda dan terhadap rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelokkan pekertinya. (Abu Daud, no: 4800
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment